Kesihatan

Apakah Piramid Makanan?

Piramid makanan ialah satu carta yang membantu kita untuk merancang pengambilan jenis-jenis makanan dan sukatan makanan yang sesuai untuk kita setiap hari . Piramid Makanan juga digunakan sebagai panduan dalam penyediaan makanan sihat. Pengambilan makanan yang sihat dapat memastikan bahawa tubuh badan dan otak kita dapat menerima semua nutrien yang mencukupi bagi membolehkan ianya berfungsi dengan baik. Pengambilan makanan perlu dipelbagaikan kerana tiada satu makanan yang boleh membekalkan kesemua nutrien yang diperlukan oleh badan.






Berapakah kumpulan makanan terdapat dalam Piramid Makanan?

ARAS 1

Aras 1 Piramid Makanan mengandungi kumpulan makanan yang kaya dengan karbohidrat kompleks, yang merupakan sumber tenaga yang utama. Makanan ini juga membekalkan vitamin, mineral, serat dan sedikit protein. Setiap hidangan makanan daripada kumpulan ini perlu diambil paling banyak. Contoh makanan bagi kumpulan ini adalah nasi, bubur, roti, mi, mihun, biskut, pasta, bijirin sarapan, capati, thosai, ubi keledek, keladi dan kentang.

ARAS 2

Aras 2 Piramid Makanan mengandungi makanan yang kaya dengan vitamin, mineral dan serat. Makanlah makanan di aras ini dengan banyak, dan pelbagaikan pilihan di dalam setiap hidangan. Contoh makanan bagi kumpulan ini ialah sayur-sayuran hijau dan buah-buahan.

ARAS 3
Daging, ayam, ikan dan kekacang terletak di Aras 3 Piramid Makanan. Makanan ini kaya dengan protein, vitamin B, zat besi, zink dan magnesium. Pilihlah daging rendah lemak dan buang semua lemak yang kelihatan pada daging dan ayam. Sekali sekala tukarkan penggunaan daging dengan kekacang, kerana ianya rendah lemak dan kaya dengan serat. Contoh kekacang adalah kacang soya dan hasilnya seperti tauhu dan tempe, kacang dhal dan kacang merah.

Hasil tenusu juga terletak di Aras 3 Piramid Makanan. Contoh hasil tenusu ialah susu, keju dan dadih. Makanan ini kaya dengan protein, kalsium dan biasanya diperkaya dengan vitamin D. Pilihlah hasil tenusu rendah lemak.

ARAS 4
Lemak, minyak, coklat, gula dan juga makanan yang kaya dengan bahan ini terletak di Aras 4 Piramid. Ini menunjukkan hanya sedikit sahaja makanan daripada kumpulan ini yang perlu dimakan.





15 JENIS MAKANAN DILARANG JUAL DI KANTIN SEKOLAH

OLEH SYED AZWAN SYED ALI



KUALA LUMPUR: 
Makanan diproses seperti burger, hotdog dan nuget serta teh dan kopi adalah antara 15 jenis makanan 'tidak sihat' yang dilarang dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai bulan depan. Makanan lain ialah mi segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan jajan. Larangan itu adalah berdasarkan Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan oleh Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, ada 70 jenis makanan, termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu, disenaraikan sebagai makanan yang boleh dijual mengikut garis panduan baru yang dirangka bagi menangani masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes di kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata cadangan itu terkandung dalam draf garis panduan penjualan makanan di kantin sekolah yang diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 4 April lalu.

Beliau berkata, cadangan penyenaraian 70 jenis makanan dan larangan 15 jenis makanan itu disediakan Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Larangan penjualan makanan tidak sihat sejajar dengan usaha kementerian menangani masalah obesiti dan diabetes yang semakin meningkat di kalangan rakyat, terutama kanak-kanak. Ia langkah mencegah peringkat awal,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini mengumumkan, peraturan itu adalah langkah proaktif kerajaan bagi menangani peningkatan masalah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar dengan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002-2008 menunjukkan satu daripada empat kanak-kanak mengalami obesiti. Kajian universiti sama juga menunjukkan, 88.6 peratus pelajar membeli makanan dan minuman yang disajikan di kantin sekolah, sekali gus meningkatkan lagi hasrat kerajaan untuk memastikan makanan sihat dijual di sekolah.

Turut dicadangkan ialah supaya Indeks Jisim Badan (BMI) wajib direkodkan dalam kad laporan prestasi pelajar berbanding amalan sebelum ini yang hanya mengkehendaki guru merekodkan berat dan ketinggian pelajar.

Pakar pemakanan UKM, Prof Dr Mohd Ismail Mohd Noor, berkata amalan merekodkan BMI diamalkan negara maju seperti Amerika Syarikat seawal kanak-kanak berusia dua tahun bagi membolehkan mereka dibimbing dengan amalan pemakanan dan aktiviti fizikal sihat.

“Obesiti sebenarnya disebabkan pelbagai punca makanan, namun peraturan baru itu adalah permulaan baik dalam memastikan pelajar mendapat makanan sihat dan seimbang di sekolah sebelum ibu bapa memainkan peranan di rumah dengan memastikan amalan baik diteruskan,” katanya.

Kajian menunjukkan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun meningkat daripada 9.7 peratus pada 2001 kepada 13.7 peratus pada 2007.

Peningkatan dikaitkan dengan amalan pemakanan tidak sihat dan aktiviti fizikal tidak aktif, iaitu 76 peratus kanak-kanak didapati menghabiskan sebahagian besar masa dengan menonton televisyen atau duduk di hadapan komputer.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Warga Pendidik

Warga Pendidik

Prasarana Sekolah

Prasarana Sekolah